PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mewujudkan ‘Speaker’s Corner’ buat julung kalinya bagi memberi peluang kepada warga kementerian itu berkongsi pengetahuan serta menggilap kemahiran komunikasi berkesan.
Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata Speaker’s Corner itu turut menjadi media kepada warga KKMM terutamanya pegawai-pegawai muda untuk bercakap dan berpidato di hadapan umum.
Beliau berkata ia akan diadakan secara berkala pada setiap bulan dan mereka yang berminat boleh memilih topik bebas tanpa menyentuh isu-isu sensitif melibatkan politik, bangsa, agama atau mana-mana individu berkaitan.
“Ia juga menjadi saluran untuk digunakan bagi menjelaskan isu-isu semasa yang berlaku sama ada dalam negara mahupun luar negara serta tempat perkongsian maklumat selari dengan visi KKMM menjadi peneraju utama masyarakat bermaklumat,” katanya.
Sharifah Zarah berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran Speaker’s Corner di lobi KKMM, Presint 4 di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKMM, Datuk Mohid Mohamed.
Beliau berkata program yang akan diadakan setiap bulan itu pada waktu rehat makan tengah hari (1 tengah hari hingga 2 petang), dan speaker hanya dibenarkan untuk bercakap selama 10 hingga 15 minit.
“Penglibatan warga KKMM dalam Speakers’ Corner ini amatlah digalakkan dan perlu diambil kira dalam pemarkahan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi meningkatkan motivasi kepada speaker, anugerah Best Speaker akan diberi kepada mereka yang layak pada hujung tahun 2016. – BERNAMA