KUANTAN – Seorang budak lelaki ditemui mati lemas tengah hari tadi selepas dihanyutkan arus deras ketika sedang mandi-manda di Sungai Pahang dekat Kampung Salong di Pekan, petang semalam.
Mangsa, Muhammad Danish Ashraf Mohd Norkamarulezwan, 7, dan dua adik-beradiknya dikatakan pergi ke sungai itu petang semalam bersama kawan kepada datuknya, Ahmad Mohamad, 63, dan isteri serta lima rakan mangsa yang juga merupakan jiran mereka berumur lingkungan tujuh hingga 12 tahun.
Ketua Polis Daerah Pekan Deputi Superintenden Amran Sidek berkata dalam kejadian lebih kurang 6.10 petang semalam, mangsa dari Felda Chini 3 dekat Pekan itu dipercayai hanyut dibawa arus deras dan tidak sempat diselamatkan oleh kenalan datuknya itu.
“Muhammad Danish Ashraf dipercayai ‎tidak pandai berenang sehingga dibawa arus deras sungai ke kawasan yang dalam dan menyebabkannya terus tenggelam‎,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Amran berkata pihak polis bersama anggota bomba dan penduduk kampung menggerakkan operasi mencari dan menyelamat selepas mendapat maklumat tentang kejadian itu.
Beliau berkata mangsa berjaya ditemui pada 12.50 tengah hari tadi di tebing sungai dekat Mambang iaitu kira-kira 10 kilometer dari tempat mangsa dihanyutkan arus deras berkenaan.
Katanya mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pekan untuk dibedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga bagi urusan pengebumian. – BERNAMA