KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan beberapa sungai dan empangan yang membekalkan sumber air mentah untuk bekalan air bersih di seluruh negara sedang mengalami penurunan yang ketara berikutan fenomena cuaca panas dan kering yang melanda Malaysia waktu ini.
Pengerusinya, Datuk Ismail Kasim berkata, SPAN telah menerima laporan gangguan bekalan air daripada tiga negeri iaitu Pahang, Kedah dan Perak disebabkan fenomena El Nino tersebut.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhemah dalam menggunakan bekalan air dan tidak membazir supaya sumber air yang ada dapat bertahan lebih lama.
“Keadaan bekalan air di lain-lain negeri adalah masih terkawal. SPAN sedang memantau rapi paras beberapa sungai dan empangan di semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ismail berkata, penurunan paras Sungai Pahang telah menyebabkan pengeluaran di Loji Rawatan Air (LRA) Lubok Kawah telah menurun daripada 100 juta liter sehari (JLH) kepada 90JLH iaitu pengurangan sebanyak 10 peratus.
Kata beliau, beberapa kawasan di sekitar Mentakab, Lancang dan Temerloh pula mengalami gangguan bekalan air dengan jumlah akaun yang terkesan sebanyak 360.
“Di samping itu, dua lagi loji rawatan air di Pahang iaitu LRA Jelai dan LRA Batu 9 turut terkesan apabila paras Sungai Jelai menurun.
“Pengeluaran LRA Jelai menurun daripada 15.6JLH kepada 13.2JLH (pengurangan 15%) dan turut menjejaskan bekalan air ke beberapa kawasan di Lipis dengan sejumlah 6,029 akaun,” katanya.
Selain itu, kata beliau, pengeluaran oleh LRA Batu 9 pula berkurangan daripada 228,000 Liter Sehari kepada 192,000 Liter Sehari (pengurangan 33 peratus).
Kata beliau, kawasan yang mengalami gangguan adalah seluruh kawasan Batu 9 Halt dengan sejumlah 120 akaun.
“Pengurusan Air Pahang (PAIP) sedang menghantar bantuan bekalan air ke kawasan-kawasan terlibat melalui lapan lori tangki dan menempatkan 26 buah tangki statik,” katanya.
Sementara itu, katanya, bagi negeri Kedah terdapat tiga loji yang telah mengurangkan pengeluaran air terawat iaitu LRA Lubuk Tupah, LRA Merbok dan LRA Gurun yang berada dalam daerah Kuala Muda yang melibatkan kira-kira 2,500 akaun pengguna.
Jelas beliau, pengeluaran itu disebabkan oleh penurunan paras sumber air mentah bagi ketiga-tiga loji ini iaitu Headwork Gunung Jerai.
Katanya, pengeluaran LRA Bukit Tupah menurun 59 peratus daripada pengeluaran biasa iaitu 14.3JLH kepada 5.9JLH manakala pengeluaran LRA Merbok menurun daripada 2JLH kepada 0.6JLH.
Tambahnya, pengurangan pengeluaran daripada LRA Taiping Headworks di Perak daripada 36JLH kepada 20.4JLH pula memberi kesan kepada bekalan air ke kawasan Taiping.
“Bagaimanapun, LAP telah meningkatkan pengeluaran daripada LRA Gunung Semanggol daripada 110JLH kepada 120JLH untuk menampung defisit bekalan daripada LRA Taiping Headworks.
“Sehingga kini, tiada kawasan yang mengalami gangguan bekalan air. LAP sedang memantau keadaan dan akan menghantar air melalui lori tangki sekiranya perlu,” katanya lagi. – Mynewshub.cc

