SHAH ALAM – Seramai 60 pelajar Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi hilang tempat tinggal apabila asrama mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 40, Sabak Bernam awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul dalam satu kenyataan berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi.
“Kejadian memusnahkan hampir keseluruhan bangunan yang berkeluasan 12 meter x 21 meter itu dan punca kebakarannya masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu Pengetua Maahad Tahfiz berkenaan Mohd Sharif Musa berkata ketika kejadian kesemua pelajar yang berusia 13 hingga 20 tahun sedang tidur di bangunan yang menempatkan tiga bilik asrama.
“Pelajar yang berada di dalam asrama tersedar selepas terhidu bau asap dan segera keluar dari asrama untuk menyelamatkan diri.
“Api juga merebak dengan cepat dan pelajar tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya.
Beliau berkata kebakaran itu turut memusnahkan bilik pejabat dan stor yang terletak berhampiran asrama berkenaan. – BERNAMA

