KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak ada pilihan lagi, kecuali mengeksploitasi saluran lain misalnya media Barat, selepas gagal dalam percubaannya untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam UMNO dan Parlimen.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata program Four Corners oleh Australian Broadcasting Corporation (ABC) adalah satu lagi usaha Dr Mahathir untuk menggunakan media Barat sebagai sebahagian daripada Kempen Anti-Najib beliau.
“Tun Dr Mahathir tidak ada lagi pilihan melainkan mengeksploitasi saluran lain seperti media Barat, yang beliau cerca semasa beliau berkuasa, dan berganding tenaga dengan seteru politik seperti Lim Kit Siang, yang dipenjarakannya semasa beliau berkuasa.
“Dengan menggabung jalin beberapa peristiwa, mereka (ABC) mewawancara hanya Tun Mahathir dan peserta lain dalam Kempen Anti-Najib beliau, yang secara terbuka mengesahkan niat mereka untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi. Tiada usaha untuk mengimbangi, dan tiada bukti yang dikemukakan untuk mewajarkan tuduhan liar ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Salleh berkata polis, pendakwa raya dan mahkamah telahpun mengesahkan bahawa kematian penuh tragik masing-masing membabitkan pengasas Arab-Malaysian Development Bank (Ambank) Hussain Ahmad Najadi, Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais dan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu tidak mempunyai kaitan langsung dengan perdana menteri. – BERNAMA