ALOR SETAR – Alat pendingin hawa dan kipas mendapat sambutan orang ramai di sekitar bandar raya ini ekoran cuaca panas sekarang.
Suhu dilapor mencecah 39 darjah Celcius di Kedah sekarang.
Seorang pemilik kedai barangan elektrik, Seng Ah Yat berkata sejak awal bulan Mac, penjualan kedua-dua peralatan tersebut meningkat.
“Sebelum ini dalam sehari, belum tentu saya dapat menjual sebuah alat pendingin hawa. Tetapi berikutan cuaca panas sekarang, saya dapat menjual lebih lima unit pendingin hawa dalam bulan ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kedainya turut mendapat permintaan tinggi bagi kipas angin.
Seorang pembeli, Mohd Fikri Abd Hassan, 35, berkata beliau membeli alat pendingin hawa untuk anak-anaknya.
“Saya perlu membelinya kerana setiap malam anak-anak mengadu sukar tidur kerana merasa panas dan badan mereka berpeluh. Sebelum ini rumah saya hanya mempunyai kipas angin,” katanya.
Zuriati Ahmad, 38, pula berkata beliau membeli dua buah kipas angin berdiri sebagai tambahan untuk diletak di bilik anak-anaknya, di samping kipas siling sedia ada. – BERNAMA

