KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Singapura, Taufik Batisah bakal muncul dalam filem terbaharu genre cinta komedi Malaysia, Soulmate, arahan sutradara terkenal Profesor Datuk A. Razak Mohaideen.
Juara musim pertama Singapore Idol 2004 itu digandingkan dengan pelakon Malaysia, Raja Ilya, yang mendukung watak utama dalam filem yang turut dibintangi Erra Fazira dan Nad Zainal, lapor Berita Harian.
Menurut laporan itu, filem Melayu Soulmate berkisar tentang kisah seorang wanita (Raja Ilya) yang awalnya mempunyai penampilan buruk, namun melalui proses perubahan menjadi wanita jelita.
Taufik pada dua hari lalu turut sempat memuat naik gambar terbaharu beliau bersama-sama dengan Erra Fazira dan isterinya, Sheena Akbal, 32; menerusi laman sosial Instagram miliknya serta menulis:
“Selepas membintangi lebih 50 filem (ya, saya cari di Google), begitu menakjubkan untuk lihat (Erra Fazira) begitu rendah diri. Peluang bekerja dengan beliau dalam filem baru kami adalah satu penghormatan.”
“Selamat hari jadi. @errafazira antara individu paling jujur dan berbakat yang saya kenali. Menakjubkan anda kelihatan muda selalu dan seolah-olah tidak meningkat usia,” kata Taufik lagi.
Penyanyi berusia 34 tahun itu turut berkongsi momen dengan memuat naik beberapa gambar eksklusif beliau sedang menjalani penggambaran ‘Soulmate’ di Malaysia dan Chiang Mai, Thailand.
Ini bukan kali pertama Taufik berlakon dalam filem kerana beliau pernah mendukung watak dukun dalam filem komedi Malaysia, Dukun Doktor Dani, yang turut dibintangi aktres Fasha Sandha.
“Saya gugup juga pada awalnya, namun ia sekejap saja. Tidak lama kemudian, kami sudah mula serasi,” kata Raja Ilya sambil berkata, mereka mula menjalani penggambaran ‘Soulmate’ pada hujung bulan lalu.
Taufik juga pernah membintangi telefilem Singapura, ‘Demi Adriana’ di saluran Suria TV tahun lalu malah pada 2010, beliau juga tampil dalam pementasan teater ‘Fried Rice Paradise – The Musical.’
Raja Ilya yang dipetik Berita Harian sebagai berkata bahawa beliau berasa selesa dapat bergandingan dengan Taufik walaupun tidak mengenali penyanyi itu secara mendalam sebelum ini.
Aktres itu yang bakal muncul dalam drama bersiri Gerak Khas musim baharu, turut berkata persamaan darah campuran antara dirinya dengan Taufik membuatkan mereka mudah serasi.
Menurut Berita Harian lagi, lagu tema untuk filem ‘Soulmate‘ turut dinyanyikan Taufik dengan penyanyi Malaysia, Adira. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA