SEREMBAN – Sekumpulan pendaki yang mendaki di Hutan Lipur Gunung Datuk yang dilaporkan sesat ditemui dalam keadaan selamat kira-kira 2.25 petang tadi.
Pengarah Bomba Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata kumpulan itu yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia 20-an mula mendaki kira-kira pukul 5 pagi tadi dan pihak bomba menerima panggilan daripada seorang daripada mereka kira-kira pukul 8 pagi.
Seramai 11 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Rembau terlibat termasuk pasukan khas bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat, katanya.
“Difahamkan mereka telah membuat dan melalui trek mereka sendiri sehingga mereka tidak menemui puncak. Ini menyebabkan mereka berpatah balik dan sekali lagi tidak menemui jalan turun sebelum membuat panggilan kecemasan.
“Bagaimanapun kita sudah temui mereka dan berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama. – BERNAMA