IPOH – Atas dasar percaya dengan kebolehan kanak-kanak kurang upaya atau “istimewa”, Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang mengambil inisiatif memperkenalkan projek pembelajaran bakeri kepada 26 pelajar pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Slim di Slim River.
Pengetua SMK Slim Zuraidah Ahmad Zaiti berkata projek itu diperkenalkan Julai tahun lalu bagi menggilap kemahiran pelajar pendidikan khas berumur antara 13 hingga 19 tahun.
“Mereka sebenarnya mempunyai kebolehan serta kemahiran tersendiri seperti kanak-kanak normal jika diberi peluang dan bakat mereka dicungkil melaui kaedah-kaedah tertentu.
“Dengan cara ini, mereka boleh memanfaatkan kemahiran yang ada di rumah atau sekiranya tidak menyambung pelajaran selepas tamat sekolah, mereka boleh menggunakan kemahiran dimiliki untuk menceburi bidang keusahawanan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut Zuraidah pembelajaran bakeri itu merupakan satu-satunya projek yang disediakan kepada pelajar pendidikan khas di daerah Batang Padang.
Zuraidah berkata kelas bakeri yang diadakan setiap Rabu itu melibatkan dua guru yang mana seorang daripadanya ditugaskan untuk mengajar cara-cara membuat roti, manakala seorang lagi menjalankan kerja-kerja mempromosi.
“Mereka diajar cara-cara membuat roti, muffin, roti kacang dan roti sausage. Pelajar ini diajar satu menu untuk satu hari supaya mereka mudah faham.
“Tidak semua murid boleh membuat roti…hanya lapan murid perempuan yang boleh buat, sementara murid lelaki hanya membantu, manakala murid sindrom down melakukan kerja-kerja mempromosi dengan membuat jualan di sekolah ini,” katanya.
Katanya hasil jualan roti dapat menambah dana bagi projek itu seterusnya digunakan untuk membeli alat kelengkapan membuat roti.
Dalam masa sama, beliau berkata PPD merancang untuk menjadikan SMK Slim sebagai pusat kemahiran bakeri supaya guru di sekolah lain berpeluang menimba kemahiran sama untuk diajar kepada pelajar pendidikan khas di sekolah masing-masing.
Sementara itu, Guru Pendidikan Khas SMK Slim, Rabiah Othman berkata mengajar pelajar pendidikan khas tidak sukar, namun memerlukan kesabaran yang tinggi kerana mereka memerlukan masa untuk memahami apa yang dipelajari.
“Mereka ini kadang-kadang cepat lupa, sebagai seorang guru kita perlu mengingatkannya semula dengan memberi latihan dan praktikal. Saya lihat mereka ini akan merasa gembira apabila roti yang dihasilkannya telah siap,” katanya.
Rabiah berkata sebelum memulakan pembelajaran, beliau akan membahagikan tugas kepada setiap pelajar termasuk menyukat bahan, menguli tepung dan memasukkan roti ke dalam bekas.
Bagi pelajar Orang Asli yang mempunyai masalah pembelajaran, Aggel Sarilatun Arpan, 19, berkata dia berasa gembira dapat mempelajari dan menghasilkan roti bersama rakan-rakannya.
“Pertama kali buat, saya tidak berapa faham cara-cara membuat roti ini, tetapi dengan bantuan guru, kini saya sudah pandai buat roti. Saya seronok apabila roti sudah siap dan boleh dijual dan dimakan oleh kawan-kawan,” katanya. – BERNAMA