KUALA LUMPUR – “Saya lontar mikrofon itu secara perlahan saja,” dakwa Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu atau lebih popular dengan panggilan Mat Sabu.
Kata Mat Sabu, beliau berbuat demikian bagi menzahirkan kekecewaannya ke atas orang Melayu kerana tidak berani bangkit menumbangkan kerajaan melalui rusuhan dan demonstrasi jalanan.
Menurutnya, beliau kesal orang Melayu masih sibuk bercakap tentang khutbah di masjid dan ceramah di surau sedangkan Cina dan India tidak mendengar khutbah dan ceramah agama.
“Itu lambang kekecewaan saya kepada golongan pertengahan Melayu. Kalaulah 70 peratus rakyat bangun menolak Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan di laman Facebook rasmi PAN semalam.
Mynewshub pada 10 Februari lalu melaporkan Mat Sabu mencampak mikrofon di hadapan khalayak ramai dengan kasar selepas menyampaikan ucapan pada Himpunan Bebaskan Anwar baru-baru ini.
Tindakan itu dikecam orang ramai yang menyifatkan perbuatan berkenaan membayangkan mentaliti pemimpin pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja untuk memegang kuasa termasuk memupuk nilai-nilai agresif dalam kalangan pengikut mereka.
Mat Sabu dalam ucapannya, turut menghasut orang Melayu supaya berani melakukan rusuhan dan demonstrasi jalan seperti di Thailand, Indonesia dan Filipina untuk menjatuhkan kerajaan.
“Kita di Malaysia apa kita buat. Nak kumpul 1 juta orang untuk jatuhkan Najib (Perdana Menteri) di Kuala Lumpur pun tak boleh,” katanya.
Beliau dalam pada itu menyelar ulama-ulama PAS kerana menjalin hubungan baik dengan kerajaan kebelakangan ini kerana perbuatan itu didakwa menyebabkan orang bukan Islam memandang serong kepada agama Islam. - MYNEWSHUB.CC
[wpdevart_youtube]3xedn8VUFng[/wpdevart_youtube]

