KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan membincangkan perletakan jawatan bekas jurulatih skuad remaja negara, A. Arulselvaraj, dalam mesyuarat Lembaga Eksekutifnya yang akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif KHM K. Logan Raj berkata perkara itu wajar dibincangkan segera kerana ia membabitkan pembangunan dan kemajuan hoki negara yang wajar diberi tumpuan.
“Kami berterima kasih kepada Arul atas apa yang dilakukannya untuk hoki Malaysia sama ada sebagai pemain mahupun jurulatih.
“Bagaimanapun, kami tidak boleh memaksa mereka yang sudah tidak mahu menjadi sebahagian daripada sistem ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Arul, 44, mengemukakan surat perletakan jawatannya minggu lepas walaupun kontraknya bersama KHM hanya akan berakhir pada penghujung Ogos ini.
Jawatan Arul dalam skuad remaja negara telah diisi oleh Wallace Tan yang juga bekas ketua jurulatih negara pada 19 Dis lalu selepas pasukan bimbingannya gagal mara ke pusingan akhir Piala Dunia Remaja yang akan diadakan di India dari 1 hingga 11 Disember tahun ini.
Ini berikutan kekalahan 1-4 menerusi penentuan penalti di tangan Korea Selatan di suku akhir Piala Remaja Asia di Kuantan, November lepas. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]USLHIKNoGGQ[/wpdevart_youtube]
