KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu berjaya menyelamatkan taksiran harta bernilai kira-kira RM2.6 bilion daripada musnah dalam kebakaran sepanjang tahun lepas.
Pengarahnya Azlimin Mat Noor berkata dalam tempoh yang sama juga pihaknya turut merekodkan peningkatan kerugian sebanyak RM19.6 juta berbanding RM15.3 juta pada tahun 2014.
Katanya Balai Bomba Kerteh merekodkan kawasan paling tinggi harta benda berjaya diselamatkan melibatkan nilai RM2.5 bilion diikuti Balai Bomba Jalan Kota (RM22 juta), Balai Bomba Chukai (RM15 juta) dan Balai Bomba Kuala Terengganu (RM10 juta).
“Sebanyak 157 kes kebakaran melibatkan bangunan dan 105 kejadian kebakaran rumah kediaman telah dicatatkan dalam tempoh tersebut, seramai enam mangsa maut dan 31 cedera akibat kebakaran,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurutnya sepanjang tahun lepas juga sebanyak 3,275 panggilan kecemasan telah diterima dan 1,995 merupakan panggilan kebakaran, 1,138 panggilan kerja menyelamat dan 142 panggilan khidmat khas.
Jelasnya walaupun statistik panggilan kebakaran ini menunjukkan penurunan 36.8 peratus berbanding 3,158 (2014) namun ia masih tinggi.
Azlimin berkata kes kebakaran belukar dan lalang paling tinggi direkodkan dengan 1,025 kes, kebakaran hutan (133), kebakaran kenderaan (94) dan lain lain kes (446).
Katanya berdasarkan perangkaan, didapati 38 kes kebakaran berpunca daripada elektrik, dapur gas (sembilan), ubat nyamuk dan lilin (tujuh) dan empat lagi disebabkan percikan api. – BERNAMA