KUALA LUMPUR – Pemimpin PAS tetapi Pro-Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Husam Musa akan dihadapkan kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS kerana melakukan tindakan yang bercanggah dengan kepentingan parti itu.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor di Kelantan itu diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang hari ini.
“Mesyuarat mengambil maklum tentang aduan-aduan tatatertib ke atas Husam yang diterima oleh Pejabat Agung PAS.
“Mesyuarat berpandangan aduan tersebut mempunyai merit dan asas serta bertaraf kes tatatertib yang boleh dipertimbangkan tindakan seperti diperuntukkan Perlembagaan PAS,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah memutuskan aduan-aduan itu wajar diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS.
Menurutnya, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Daeng Sanusi Daeng Mariok.
“Mesyuarat juga memohon supaya kes ini diputuskan dalam kadar segera bagi mengelakkan sesuatu kesan yang tidak baik, tohmahan yang berterusan serta merugikan kepentingan parti,” katanya.
Husam yang disingkirkan daripada barisan pimpinan PAS pada pemilihan parti tahun lalu menjadi duri daging dalam PAS kerana sering `menyerang’ kepimpinan tertinggi parti itu.
Beliau diketepikan daripada saf barisan kepimpinan PAS kerana dilihat terlalu taksub kepada PKR dan mengikut telunjuk DAP yang membentuk Pakatan Harapan. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]HepohbHRzFE[/wpdevart_youtube]