KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini melakukan penerbangan ihsan membawa seorang pesakit apendiks kronik dari Pulau Tioman, untuk menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee berkata Noor Herayani Zakiria, 28, yang bekerja sebagai tukang masak di Kampung Tekek, Pulau Tioman disahkan memerlukan pembedahan segera.
Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tekek Dr Jamil Aizuddin Junaidi mengesahkan wanita itu mula menerima rawatan sejak 11.30 malam tadi, dan perlu dibedah segera bagi mengelak komplikasi peritonitis.
“Pihak klinik meminta bantuan APMM membawa pesakit ke Kuantan. Oleh kerana bot tidak boleh digunakan kerana keadaan ombak besar menyebabkan kami meminta kebenaran menggunakan helikopter.
“Kebenaran menggunakan helikopter diterima pada tengah hari, dan helikopter APMM Agusta AW139 berlepas dari Stesen Udara Maritim Subang ke Kampung Tekek untuk mengambil pesakit,” katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Helikopter dipandu juruterbang Kapten Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Shamsul Ehsan Alwi bersama pembantu juruterbang Leftenan Komander Maritim Azizi Zalkepeli @ Zulkifli, kru udara Sudin Appe dan Supiyan Sulaiman, mendarat di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 4, pada 2.45 petang.
Turut menyertai penerbangan itu ialah suami Noor Herayani, iaitu Azri Alias, 28, seorang pegawai perubatan dan seorang jururawat dari Klinik Kesihatan Tekek.
Sementara itu, Shamsul Ehsan berkata mereka berlepas dari Pulau Tioman pada 2 petang dan mengambil masa agak lama ekoran angin kencang.
“Langit mulai gelap semasa kami memasuki ruang udara Rompin dan hujan di Pulau Tioman. Bagaimanapun, kami berjaya memindahkan pesakit ke dalam helikopter dan meneruskan penerbangan,” katanya. – BERNAMA

