KUALA LUMPUR – Empat anak kapal pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), CN235, yang cedera dalam tragedi di Pantai Batu 2, Kuala Selangor kelmarin beransur pulih.
TUDM dalam satu kenyataan media malam tadi berkata, keadaan mangsa dipantau pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
“Dalam masa yang sama, ahli-ahli Lembaga Penyiasatan yang telah ditubuhkan oleh TUDM masih meneruskan penyiasatan bagi mengumpul bahan-bahan di kawasan insiden.
“Pasukan Salvage Tim yang berada di kawasan insiden sedang mengumpul serpihan-serpihan kecil pesawat. TUDM akan meneruskan usaha untuk membawa keluar pesawat dari kawasan kejadian,” kata kenyataan itu semalam.
TUDM turut memaklumkan pasukan khasnya masih berada di tempat insiden bagi mengawal keselamatan kawasan tersebut.
Kata TUDM, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Roslan Saad mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk nelayan tempatan kerana memberi bantuan dalam insiden itu.
TUDM turut memaklumkan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah melawat keluarga Allahyarham Abu Hassan Abd Latib di rumah mereka.
Menteri Pertahanan meluangkan masa lebih satu jam bersama keluarga Allahyarham bagi menzahirkan rasa simpati diatas kemalangan yang menimpa Allahyarham.
Abu Hassan, 57, adalah penduduk tempatan yang meninggal dunia akibat lemas semasa merentasi tali air untuk bergegas ke lokasi kejadian pesawat berkenaan. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]hQj4uieqR_k[/wpdevart_youtube]

