LAMAN berita yang menawarkan kandungan berbentuk harian melalui portal atas talian, The Rakyat Post (TRP) dijangka menghentikan operasi pada Isnin ini ekoran masalah kewangan.
Menurut maklumat daripada seorang wartawan senior TRP yang dihubungi, ia disebabkan kemorosotan ‘aliran tunai’ yang menjana pendapat portal tersebut, sekali gus penaung portal berita itu juga bakal mengundurkan diri.
“Saya dimaklumkan pihak pengurusan ‘funder’ kami (pemilik portal) sudah tidak mampu meneruskan operasi, manakala iklan diterima agak kecil ditambah dengan kos perbelanjaan bulanan yang agak tinggi.
“Kami juga dimaklumkan sebarang keputusan mengenainya hanya akan diketahui pada Isnin minggu depan dan sekiranya ia masih gagal lagi untuk diselesaikan, maka operasi akan dihentikan.
Beberapa kakitangan portal tersebut juga dikatakan telah meletak jawatan akibat daripada proses pembayaran gaji bulanan yang sering lewat kepada pekerja.
“Ada kalangan kakitangan yang telah letak jawatan untuk cuba nasib di tempat baru dan hingga kini gaji kami telah tertunggak hampir dua bulan,†katanya yang meminta agar identitinya dirahsiakan.
“Selain berdoa, kami mengharapkan supaya masalah ini mampu diselesaikan dengan cara baik,†katanya ringkas dengan nada sedih.
Portal  yang menggunakan tiga bahasa itu ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-13, dengan menyediakan berita gaya konsep akhbar tabloid. – MYNEWSHUB.CC