SUNGAI PETANI – Seorang peniaga mendakwa ditampar di muka sehingga bengkak oleh seorang anggota polis berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, petang semalam.‎
Mohd Faizal Guna Abdullah, 55, yang berniaga sendiri berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang semasa beliau yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari rumahnya menghala ke Jalan Ibrahim di pusat bandar.
“Ketika saya hendak membelok ke kanan secara tiba-tiba motosikal yang dinaiki anggota polis itu telah memotong saya untuk membelok ke sebelah kiri. Saya hanya membiarkan sahaja dan meneruskan perjalanan.
“Namun kira-kira 10 meter selepas itu, anggota polis berkenaan telah menahan dan memarahi saya dengan menyatakan saya tidak tahu membawa motosikal dengan betul.
“Apabila saya menjawab dia yang bersalah kerana menukar arah secara tiba-tiba, dia terus menampar muka saya dengan kuat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata anggota polis yang berumur 20-an itu yang memakai kemeja-T tertera tulisan IPD Kuala Muda terus beredar selepas menamparnya dan beberapa orang awam cuba menahannya namun gagal.
“Saya terus membuat laporan polis di IPD Kuala Muda dan selepas itu pergi mendapatkan rawatan di klinik berhampiran kerana muka yang ditampar membengkak.
“Saya juga difahamkan anggota polis itu telah membuat laporan polis pada hari yang sama dengan menyatakan saya yang memulakan provokasi dan memukulnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata anggota polis yang terlibat itu merupakan sukarelawan simpanan polis dan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]jSGYF-b0YT0[/wpdevart_youtube]

