KUMPULAN yang terdiri daripada lima pemuzik kreatif, Pitahati tampil dengan karya baru berjudul ‘Selamat Datang Ke Panggung Suara’.
Artis berkumpulan yang dianggotai Ilham (vokalis), Yasin (drum), Masrin (bass), Zahar dan Hidayat (gitar) melahirkan album mereka itu dengan penuh keunikan dan kelainan.
Tiga daripada anggota kumpulan itu juga merupakan anak kepada komposer dan penyanyi Datuk M Nasir iaitu Yasin, Ilham dan Hidayat.
Tidak seperti kelaziman pemuzik yang membuat rakaman dalam studio, album Selamat Datang Ke Panggung Suara itu dirakamkan secara ‘outdoor’.
Memberi penjelasan mengapa mereka membuat rakaman tidak mengikut cara konvensional, Ilham berkata: “idea lahir rentetan daripada filem Terbaik Dari Langit, arahan Nik Amir Mustapha, di mana muzik latarnya dihasilkan daripada bunyi-bunyian.”
Pitahati memberitahu mereka berkorban lebih 16 jam sehari untuk melakukan rakaman dalam studio tidak kedap bunyi.
Menariknya, semasa proses rakaman album, mereka diganggu bunyi bising motosikal dan juga hujan menyebabkan rakaman terpaksa dihentikan.
“Album ini adalah satu produk baharu daripada Pitahati, ia merupakan eksperimentasi bunyi dan kami menjalani proses rakaman yang panjang iaitu 16 jam sehari.
“Hampir semua lagu dirakam secara live di ruang studio yang tidak kedap bunyi dan sangat unik. Pengalaman kami ialah terpaksa berhenti beberapa jam ketika hujan bagi mengelakkan bunyi hujan terakam begitu juga jika ada bunyi motor yang terlalu bising menganggu proses rakaman,” ujarnya.
Menurutnya lagu-lagu dalam album ini juga adalah karya terbaik yang dihasilkan mengikut muzik kegemaran mereka.
“Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini merupakan ekspresi muzik yang kami suka dan kami ingin berkongsi dengan peminat-peminat kami yang berjiwa seni.
“Kami tahu ia mungkin bertentangan dengan trend muzik semasa yang sedang dimainkan radio tempatan. Namun, muzik kami sebagai pilihan pendengar mendapatkan muzik yang berbeza daripada yang sering kita dengar di radio,” ujar Ilham Nasir.
Beliau yang juga merupakan vokalis Pitahati berkata demikian ketika di dalam sidang media selepas majlis pradengar album tersebut, yang diadakan di Studio Maxio Fixo, malam Isnin.
Album Selamat Datang Ke Panggung Suara di bawah label Luncai Emas itu turut dizahirkan menerusi piring hitam yang tidak lagi dilakukan oleh penyanyi hari ini.
Kata Ilham, piring hitam yang dicetak adalah terhad dan sekeping dijual pada harga RM130.
Sementara itu, rasionalnya album terbaharu itu diadakan dalam bentuk piring hitam, jelas Masrin, adalah bagi memberi kepuasan kepada pendengar.
Setakat ini, cetakan piring hitam album Selamat Datang Ke Panggung Suara ialah sebanyak 500 unit dan pembeli awal, boleh membelinya pada harga potongan. – MYNEWSHUB.CC

