SHAH ALAM – Seorang warga emas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mengedar 363.4 gram kanabis pada 2012.
Raja Jamil Raja Hamid, 65, seorang pesara tentera yang mempunyai enam anak namun hanya dua yang masih hidup, tidak menunjukkan sebarang reaksi semasa hukuman dibacakan terhadapnya oleh Hakim Datuk Ghazali Cha.
Dalam penghakimannya, Ghazali menyatakan keterangan yang diberi pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan malah ia hanya rekaan tertuduh semata-mata.
Tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 363.4 gram di alamat No 16-2B, Jalan UP 1/1, Taman Ukay Perdana, Ampang dekat sini, kira-kira pukul 7 malam, 8 Jun 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum menurut Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Menurut Ghazali, Raja Jamil dalam keterangan pembelaan berkata dia pergi ke rumah berkenaan untuk belajar mengaji.
“Secara amnya, saya bersetuju dengan pembelaan bahawa rumah tersebut dapat diakses oleh ramai orang, namun semasa serbuan, tiada sesiapa melainkan tertuduh dan saksi pendakwaan keenam di tempat kejadian,” katanya.
Ini kerana, katanya, ketika serbuan pada pukul 7 malam itu, tiada individu lain hadir untuk mengaji di rumah berkenaan malah beg berisi dadah itu dijumpai di dalam sebuah bilik yang sedang digunakan tertuduh untuk berehat.
Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hafizza Sauni dan tertuduh diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]890EtDsoxGc[/wpdevart_youtube]