NAMANYA mungkin agak asing berbanding selebriti lain kelahiran negaranya, namun peminat program makanan pasti mengenali Chef Rinrin Marinka yang menjadi juri rancangan pertandingan masakan Masterchef Indonesia.
Lahir di Jakarta, chef jelita ini ebenarnya mempunyai ijazah dalam bidang seni reka fesyen, namun kembali terjun ke dalam dunia kulinari yang menjadi cinta pertamanya apabila beliau mengambil keputusan untuk melanjutkan diploma dalam masakan Perancis dan pastri di Institut Kulinari Le Cordon Bleu di Sydney, Australia.
Jatuh cinta pada bidang masakan seawal usia 7 tahun selepas bolu kukus buatannya menjadi, Rinrin masih mengekalkan sikap teruja dan energetik setiap kali terlibat dalam dunia kulinari di republik tersebut.
Oleh itu, tidak hairanlah beliau menjadi pilihan tepat untuk mengacara program masakan terbaru siaran stesen televisyen pelancongan GOASEAN, yang dinamakan Food Maps.

Dalam Food Maps, Rinrin membawa penonton ke dalam satu eksplorasi gastronomi berkonsepkan street food atau warung tepi jalan seperti nasi rawon, es teler, nasi uduk dan martabak manis yang mungkin masih dianggap eksotik oleh penonton luar Indonesia.
“Program Food Maps ini selaras dengan misi peribadi saya iaitu untuk membawa masakan tradisional Indonesia ke peringkat seterusnya,”katanya melalui satu tembual melalui e-mel bersama Mynewshub.
“Menerusi Food Maps, penonton akan diperkenalkan dengan makanan-makanan tradisional yang kami nikmati sejak kecil lagi dan dengan itu, potensi untuk makanan-makanan ini terkenal di persada antarabangsa juga akan menjadi lebih besar.”
Selain itu, Food Maps juga mengetengahkan konsep kulinari yang semakin mendapat tempat di hati pencinta makanan iaitu gastronomi molekular, yang membuktikan wujudnya kepelbagaian dalam dunia masakan di Indonesia dan bisa memuaskan selera semua.
Apabila ditanya mengenai stail masakan Indonesia dan Malaysia, Chef Rinrin mengakui terdapat persamaan yang ketara antara kedua-duanya.
“Rempah-ratus dan herba yang digunakan mungkin sama, namun apa yang membezakan masakan Indonesia dengan Malaysia adalah cerita dan sejarah yang terkandung di sebalik setiap hidangan,” terang beliau.
Apakah harapan beliau terhadap Food Maps?
Kata Rinrin,”Saya berharap penonton dapat melihat minat dan cinta yang mendalam saya terhadap masakan di dalam Food Maps ini nanti!”-MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=QyZDn9iZCnQ]

