KUALA TERENGGANU – Sejumlah 1,444 kes demam denggi dilaporkan di Terengganu tahun lepas, menurun sebanyak 13.8 peratus atau 232 kes dari jumlah tahun sebelumnya.
Namun jumlah kematian meningkat kepada lima orang.
Ini berbanding 1,676 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2014 dengan hanya dua kematian, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu Dr Mohamad Omar.
Katanya daerah Kuala Terengganu merupakan penyumbang utama kejadian denggi diikuti Dungun, Kuala Nerus, Kemaman, Besut, Marang, Hulu Terengganu dan Setiu.
Mohamad berkata, daripada sebanyak 231,938 premis yang diperiksa oleh JKN sepanjang tahun lalu, 2,612 didapati positif sebagai tempat pembiakan nyamuk aedes, penyebab denggi.
Semuanya telah dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000). – BERAMA

