JOHOR BAHRU – Sebanyak 2,932 keluarga dari lapan kampung terbabit program penempatan semula Projek Lebuh Raya Penguraian Timur menerima kunci rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) masing-masing.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebanyak RM303 juta diperuntukkan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 dan Ke-10 bagi pembangunan projek penempatan semula kawasan setinggan itu.
“Program penempatan semula itu telah bermula pada 1998 setelah kerajaan negeri mengurniakan tanah kepada pihak pemaju sebagai ganti atas pemegangan saham di dalam syarikat pemaju tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Skim Sewa Beli dan penyerahan kunci program penempatan semula penduduk ke rumah jenis PPR, di sini, pada Sabtu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM203 juta dalam bentuk geran manakala RM100 juta dalam bentuk pinjaman kepada kerajaan negeri yang dilunaskan secara pembayaran RM10 juta setahun hingga projek selesai,” katanya.
Mohamed Khaled berkata peruntukan berkenaan ialah bagi pembinaan 2,720 unit pangsapuri kos rendah yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan lantai 850 kaki persegi bagi setiap unit.
“Fasa pembinaan projek PPR terbahagi kepada empat iaitu Plot 1 sebanyak 320 unit, Plot 2a (1,120 unit), Plot 2b (640) dan Plot 3 (640 unit),” katanya. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.
Menurut Mohamed Khaled lagi, pangsapuri berkenaan berharga RM35,000 seunit setelah ditolak subsidi daripada kerajaan negeri bagi pemegang TOL manakala penyewa pula dengan harga RM50,000 seunit.
Menyentuh mengenai Skim Sewa Beli, beliau menerangkan sebanyak 94 pembeli disahkan layak ditawarkan skim tersebut setelah mendapat persetujuan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor.
“Keseluruhan pembiayaan skim ini melibatkan kos berjumlah RM3.965 juta membabitkan 49 unit rumah beharga RM35,00 seunit dan 45 unit rumah beharga RM50,000 seunit,” jelas Mohamed Khaled.
Katanya lagi, bayaran ansuran bulanan sebanyak RM201 bagi rumah RM35,000 dan RM264 bagi rumah berharga RM50,000 adalah untuk tempoh 20 tahun termasuk kadar bayaran penyelenggaraan dan insurans.
Selain itu, pihak kerajaan negeri juga komited menyasarkan setinggan sifar bandar menjelang pilihan raya umum yang akan datang dengan pelbagai usaha dilakukan termasuk skim ini. – BERNAMA
