SIBU – Orang ramai dinasihatkan agar tidak menerbangkan dron atau kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) berdekatan dengan kawasan larangan, kata Ketua Polis Sibu ACP Mohd Kamal Kordi.
Beliau berkata ini kerana ia boleh menyebabkan mereka yang terbabit diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298).
“Sekiranya terdapat unsur-unsur pengintipan di kawasan-kawasan larangan itu, seseorang itu boleh dipenjara seumur hidup,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini bagi mengulas kejadian dron terjatuh di kawasan Penjara Pusat Sibu baru-baru ini.
Mohd Kamal berkata seeloknya, orang ramai yang hendak menerbangkan dron berbuat demikian di kawasan-kawasan awam seperti taman atau dataran bandar.
Menurutnya pelabuhan, lapangan terbang dan kem tentera adalah antara kawasan larangan di negara ini.
Dalam kejadian Ahad lepas, sebuah dron berwarna putih lengkap dengan fungsi kamera dipercayai gagal dikawal dengan baik menggunakan alat kawalan jauh, terjatuh di atas bumbung satu dari blok Penjara Pusat Sibu sekitar pukul 10.55 malam.
Apabila diperiksa, warden mendapati lelaki berumur lingkungan 40-an bersama tiga kanak-kanak berada di padang bola sepak bersebelahan penjara.
Lelaki itu pergi ke pintu masuk penjara dan meminta supaya warden penjara mendapatkan dron itu untuknya tetapi diberitahu untuk mengambilnya pada keesokannya.
Pemeriksaan dilakukan pihak penjara mendapati dron tersebut dilengkapi alat kamera dan kad memori 2GB serta mempunyai rakaman video memaparkan kawasan penjara yang kurang jelas.
Mohd Kamal berkata dron terbabit diterbangkan anak lelaki tersebut dan hasil siasatan mendapati tiada apa-apa niat atau unsur-unsur jenayah dikaitkan dengan insiden tersebut. – BERNAMA

