KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khairul Nizam Abd. Ghani ditahan pihak polis di rumahnya di Kota Bahru, Kelantan pada pukul 10 pagi ini.
Setiausaha Agung PSM, Sivarajan Arumugam berkata, Khairul Nizam dipercayai ditahan di Ibu Pejabat POlis Daerah (IPD) Kota Bharu.
Kata beliau, Khairul Nizam pernah ditahan polis pada 28 Disember lalu namun dibebaskan pada hari berikutnya.
“Polis belum memberi maklumat mengapa Khairul Nizam ditahan kali kedua. Ini merupakan suatu tindakan mengintimidasi dan menindas para aktivis politik dan sosial.
“PSM mendesak polis membebaskan Khairul Nizam dengan segera dan bertindak profesional dan mendakwanya di mahkamah jika beliau benar-benar menyalahi undang-undang. Tindakan mengintimidasi ini mesti dihentikan dengan segera,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mynewshub.cc pada 2 Januari lalu melaporkan Khairul Nizam dalam perutusannya bersempena Tahun Baru 2016 meminta rakyat Malaysia supaya tidak mengikut ulama semua agama pada zaman kapitalis ini.
Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama berusaha mewujudkan satu zaman sosialis yang soleh di Malaysia.
Khairul Nizam dalam perutusan itu mendakwa kononnya mewujudkan sistem sosialis di Malaysia merupakan satu ibadah untuk rakyat Malaysia.
Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia perbalahan semasa manusia selama ini cuma tentang aspek ekonomi dan agama hanyalah pemisahan semangat terhadap perbalahan itu.
“Contohnya Nabi Muhammad S.A.W jika ditakdirkan membawa risalah akidah di negara (dunia) kapitalis sekarang ini, maka pasti Muhammad dibenarkan membentuk NGOnya, bergerak menyebarkan risalah, forum, debat dan sebagainya. Sekadar akidah ketuhanan sahaja,†kata Khairul Nizam dalam perutusan berkenaan.
Beliau bagaimanapun dalam perutusan itu cuba berselindung kononnya ia ditujukan kepada institusi kesultanan Melaka yang tidak lagi wujud.
PSM merupakan rakan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail secara terbuka mempelawa PSM menyertai Pakatan Harapan sebelum ini. – mynewshub.cc

