KULIM – Seorang daripada tiga pendaki yang keletihan semasa mendaki Gunung Bintang, dekat Kampung Sedim awal pagi tadi berjaya diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat Bomba hari ini.
Penguatkuasa Kanan Bomba II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohd Hafiz Suhaimi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.38 pagi daripada salah seorang pendaki, Ashraf Mohamad, 28.
“Dia menyatakan dua rakannya mengalami kecederaan. Pemandu arah dan orang kampung telah bergerak terlebih dahulu untuk mencari mangsa.
“Mangsa yang membuat panggilan kepada pihak bomba telah dijumpai pada pukul 12 tengah hari manakala dua lagi pendaki Shahfizan Ramli, 28, dan Faizal Abu Bakar, 30, berjaya dijumpai pada pukul 2.07 petang tadi namun belum lagi dibawa turun,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Hafiz berkata mangsa hanya mengalami kekejangan kaki dan keletihan akibat kehabisan makanan.
Proses membawa turun mangsa ke kaki gunung dijangka mengambil masa lebih lima jam.
“Jarak mangsa dari tempat permulaan pendakian dianggarkan 11 km dan ia akan mengambil masa untuk membawa turun mereka. Jika keadaan mereka tidak serius, proses membawa turun mangsa akan dilaksanakan hari ini.
“Seramai enam anggota bomba dibantu Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kulim, Jabatan Perhutanan serta penduduk kampung terlibat dalam operasi mencari.
“Unit Udara Bomba Dan Penyelamat Malaysia Bertam, Pulau Pinang turut membantu menjalankan operasi pemantauan,” katanya.
Difahamkan ketiga-tiga pendaki dari Kuala Lumpur itu telah memulakan pendakian ke Gunung Bintang pada pukul 1.00 pagi tadi sebelum salah seorang daripada mereka mengalami kekejangan kaki. – BERNAMA

