GEORGETOWN – Kerja-kerja mitigasi di Bukit Relau, di sini yang mengalami hakisan tanah yang teruk akibat aktiviti penggondolan pada pertengahan 2013, dijangka siap pada Jun 2016.
Jurutera geoteknik Khoo Koon Tai berkata kerja mitigasi di lot bukit yang juga dikenali sebagai Bukit Botak kini sudah siap 60 peratus.
“Bahagian bawah cerun bukit itu akan ditanam dengan rumput, kini sedang menjalani proses pembenihan hidro dengan tambahan ‘fibre mat’ untuk pertumbuhan yang berkesan, manakala di bahagian atas akan ditanam dengan pokok-pokok,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan itu di sini hari ini.
Yang turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang Datuk Patahiyah Ismail, pengurus projek General Accomplishment Sdn Bhd (GASB) Razif Ahmad dan badan-badan bukan kerajaan.
Khoo berkata apabila kerja mitigasi itu selesai, keseluruhan bukit akan menjadi lebih hijau, serta meminimumkan risiko hakisan tanah sebelum membuat apa-apa projek pembangunan di kawasan itu.
Kerja mitigasi sedang dijalankan di Lot 11396 milik GASB. Di tapak lain di lot 303, 34 dan 10613, kerja mitigasi hampir selesai. Keseluruhan proses mitigasi menelan belanja kira-kira RM50 juta.
Ketika ditanya sama ada akan ada apa-apa pembangunan di kawasan itu pada masa akan datang, Khoo berkata: “Apabila saya mencadangkan mitigasi untuk membantu jurutera awam bagi pelan itu, ia tidak mempertimbangkan mengenai pembangunan di kawasan ini”.
Sementara itu, Chow berkata pada masa ini, tiada rancangan untuk pembangunan di bukit itu selepas kerja mitigasi selesai.
“Majlis dan negeri tidak akan menghalang sesiapa membuat permohonan untuk mencadangkan bentuk pembangunan, dan sekiranya mereka berbuat demikian, majlis akan mempertimbangkannya…lulus atau tolak, bergantung kepada majlis,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]FCbDWSU2zr8[/wpdevart_youtube]