KUALA LUMPUR – Laluan bas henti-henti Puchong Utama-HAB Pasar Seni di sepanjang koridor Jalan Klang Lama (laluan 600) dan Putrajaya Sentral-Bandar Utama di sepanjang Koridor Sungai Besi (laluan 506) akan dikendalikan semula oleh RapidKL berkuat kuasa 21 Disember ini.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam satu kenyataan media berkata, ia sebahagian daripada usahanya menyemak dan menstabilkan semula perkhidmatan bas di bawah program Penyusunan Semula Rangkaian Bas Henti-henti.
“Waktu operasi untuk laluan 600 adalah dari pukul 5.30 pagi hingga 11:30 malam dengan kekerapan setiap 10 minit ketika waktu puncak pagi dan petang, manakala laluan 506 akan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 11.30 malam dengan kekerapan setiap 30 minit ketika waktu puncak pagi dan petang,” kata kenyataan itu hari ini.
SPAD berkata, pelaksanaan Penyusunan Semula Rangkaian Bas Henti-henti bagi
memberi jaminan kepada orang ramai bahawa setiap langkah proaktif sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan isu-isu dialami mereka dengan segera.
“SPAD sedang memantau operasi pengendali melalui Sistem Hab Pemantauan Prestasi (PMHS) untuk menstabilkan perkhidmatan apabila tibanya 31 Disember 2015.
“SPAD akan mengambil tindakan tegas terhadap pengendali yang gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan seperti kekerapan perkhidmatan dan kapasiti bas,” kata SPAD.
SPAD turut meminta orang ramai menghubungi talian 1-800-88-7723(SPAD) untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai perkhidmatan bas henti-henti di kawasan masing-masing untuk tindakan lanjut. – Mynewshub.cc
[wpdevart_youtube]YZzTZhTvfo8[/wpdevart_youtube]