KUALA LUMPUR – Memperkasakan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup golongan belia kaum India di negara ini menjadi antara agenda utama barisan kepimpinan Pemuda MIC.
Ketuanya C. Sivarraajh berkata agenda itu meliputi pembangunan pendidikan, peluang perkerjaan dan pembangunan usahawan belia India berikutan parti itu bertanggungjawab memimpin kira-kira 800,000 belia India.
“Dalam kita memberi kepentingan kepada pembangunan masyarakat India, Pemuda MIC juga komited untuk memberi tumpuan kepada hal ehwal negara dan masyarakat Malaysia yang lain tanpa mengira kaum dan bangsa.
“Perjuangan Pemuda MIC adalah untuk semua rakyat Malaysia,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Pemuda MIC di ibu pejabat parti di sini malam tadi.
Mesyuarat pertama yang diadakan selepas Sivarraajh menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua Pemuda bagi penggal 2013-2016 pada 10 Okt lepas itu turut dihadiri Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Timbalannya Datuk Seri S.K. Devamany.
Sivarraajh menyatakan komitmennya untuk membawa pergerakan Pemuda ke tahap lebih cemerlang.
“Saya percaya barisan Pemuda MIC kebangsaan ini mampu membawa perubahan yang signifikan dalam masyarakat dan parti,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]4uHtxFtFQvU[/wpdevart_youtube]

