BATU PAHAT – Jenazah empat anggota keluarga yang lemas selepas rakit dinaiki mereka tenggelam di Sungai Bekok, Yong Peng, di sini, petang semalam, selamat dikebumikan, hari ini.
Kesemua mangsa itu ialah Lana Ismail, 55; anak lelakinya Mohd Aiman Arif Hairaddin, 10; serta dua cucunya Muhammad Iman Naqiudin Nas Izhar, 2, dan Muhammad Ikhwan Nasaruddin Nas Izhar, 10 bulan.
Kesemua mereka selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kangkar Bahru, Yong Peng, kira-kira pukul 3.20 petang.
Suasana pilu dan hiba menyelubungi majlis pengkebumian yang dihadiri kira-kira 100 orang termasuk anggota keluarga, saudara mara dan penduduk kampung.
Suami Lana, Hairaddin Masran, 58, yang terselamat dalam kejadian itu dilihat turut menitiskan air mata selain dipapah anggota keluarga pada pengkebumian berkenaan.
Terdahulu, jenazah kesemua mangsa masing-masing dibawa menaiki van dari rumah mereka di Kampung Melayu Kangkar Bahru, di sini, untuk disembahyangkan di masjid kampung berkenaan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut meluangkan masa menziarahi jenazah dan anggota keluarga di rumah mangsa.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, rakit membawa 10 orang yang mempunyai hubungan keluarga itu tenggelam ketika kesemua mangsa menyeberang sungai berkenaan untuk melihat ternakan kambing mereka di tebing sungai.
Muhammad Iman Naqiudin dan Muhammad Ikhwan Nasaruddin ditemui lemas sejurus kejadian itu manakala Lana dan Mohd Aiman Arif, hilang.
Mayat Mohd Aiman Arif kemudian ditemui pasukan bomba dan penyelamat kira-kira dua meter dari lokasi kejadian, pada 8.40 malam tadi manakala mayat Lana ditemui terdampar di tebing di bawah jambatan sungai itu, 8.15 pagi tadi.
Selain Hairaddin, mangsa lain yang terselamat dalam kejadian itu adalah Nor Diana Alisa Hairaddin, 31, Ali Abdul Raman Hairaddin, 28, Junaidah Yang, 28, Siti Farahida Hairaddin, 26, serta Muhamad Ali An-naqi Abdul Raman, 2. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]kLkQzUnGBcQ[/wpdevart_youtube]