PROGRAM realiti Gegar Vaganza musim kedua (GV2) telah pun melabuhkan tirainya dengan menyaksikan kemenangan berpihak kepada penyanyi Siti Nurdiana yang dinobatkan sebagai juara pada Ahad lalu.
Bagaimanapun, muncul cerita kurang enak apabila pelakon dan pengacara terkenal Fizo Omar dikatakan telah memuat naik status di Twitter seolah-olah mengkritik penaja program tersebut iaitu Dato’ Seri Vida yang berbunyi, “Potong stim la tengok #gegarvaganza ni.. nak tengok otai-otai menyanyi bukannya..”.
Meskipun tidak dinyatakan secara umum nama individu yang dimaksudkan, netizen dapat mengagak bahawa tweet itu ditujukan kepada pemilik produk Qu Puteh tersebut.
Status suami kepada usahawan tudung terkenal, Mawar Fareeda ini sekali gus mengundang kecaman peminat GV2 yang berpendapat Fizo tidak sepatutnya mengeluarkan komen sedemikian.
Sedar akan kesilapannya, Fizo pada Isnin bertindak memohon maaf di laman sosialnya selain mengucapkan tahniah kepada pemenang pertandingan tersebut.
“Tahniah diucapkan kepada semua pemenang #gegarvaganza musim kedua dan juga penaja utama serta pihak astro diatas kejayaan menganjurkan program yg menjadi satu fenomena.
“Sebelum itu saya memohon berbanyak kemaafan seandainya tweet saya malam tadi membuat ada pihak yg tidak selesa, namun sebenarnya ia tidak ada kaitan dengan mana-mana individu yg terlibat seperti yang telah diviral kan.
“Dengan rendah diri saya memohon kemaafan di atas kekhilafan ini,” tulisnya.
Semoga kes ini membuatkan Fizo dan artis-artis lain lebih hati-hati dalam melontarkan komen terutama di laman sosial agar insiden seumpamanya tidak berlaku lagi. – MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=KdH51ZykiuE]


