SITUASI yang melibatkan pihak berkuasa bergaduh dengan peniaga kecil bukan lagi satu isu baharu di negara ini. Perkara sebegini selalu terjadi akan tetapi pihak manakah yang sewajarnya dipersalahkan?
Adakah pihak berkuasa tempatan semata-mata yang sememangnya menjalankan tugas dan amanah mereka? Ataupun golongan peniaga-peniaga kecil yang bekerja keras demi mencari sesuap rezeki?
Terbaharu, melalui kiriman seorang wanita menerusi laman Facebooknya menceritakan, satu kejadian berlaku di depan matanya melibatkan pihak penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan peniaga kecil.
Wanita yang bernama Datyn EiLa Wocc ini menceritakan pengalamannya menyaksikan sendiri pergaduhan tersebut di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Dalam posnya itu, dia menyelar tindakan golongan peniaga kecil kerana terlalu ‘benci’ pihak DBKL. Dia turut menceritakan betapa peniaga ini tidak menghormati pihak penguat kuasa DBKL yang rata-rata terdiri dari golongan yang sudah jauh lebih dewasa.
Tindakan ‘liar’ golongan peniaga ini dilihat keterlaluan sehingga ada yang sanggup mengejar van DBKL ini sambil memaki hamun golongan yang hanya menjalankan tugas diamanahkan mereka.
Selain itu, Datyn EiLa Wocc juga ada menyatakan yang pihak DBKL terlebih dahulu sudah meminta peniaga-peniaga kecil terbabit untuk meninggalkan tapak perniagaan kerana operasi rondaan sedang dijalankan.
Namun peniaga yang berang ini terus bertindak memaki hamun petugas DBKL ini. Jika dilihat pada satu sudut sahaja, mungkin ramai akan mengatakan ‘pergaduhan’ ini biasanya tercetus akibat golongan peniaga sahaja.
Akan tetapi, dalam pos yang ditulis wanita ini turut menyelar tindakan pihak DBKL yang bertindak memijak barang jualan. Rata-rata dari barangan yang dipijak adalah merupakan barang makanan dan ternyata adalah agak ‘kurang ajar’ untuk bertindak sedemikian terhadap rezeki.
Mungkin sifat ‘amarah’ peniaga ini disebabkan oleh kejadian pijak memijak ini menyebabkan terjadinya pergaduhan ini? Atau mungkin sifat kurang sabar peniaga juga merupakan faktor penyumbang tercetusnya kejadian ini?
Mungkin benar pihak penguat kuasa DBKL benar-benar ‘berkasar’ terhadap peniaga-peniaga ini? Tiada siapa mampu menduga apakah sebenarnya yang mendorong kepada berlakunya situasi begini.
Apapun, sama-samalah kita melahirkan rasa tanggungjawab dalam diri kita sendiri sebelum menuding jari ke pihak-pihak yang tertentu. Renung-renungkanlah. – MYNEWSHUBCC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=8H_prlM410k]



