KUANTAN – Ada dalam kalangan pemandu lori bauksit di daerah ini dikesan merupakan mereka yang tegar melakukan kesalahan jalan raya walaupun berulangkali dikompaun oleh pihak penguatkuasa.
Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Ahmad Sallehuddin Mat Nasir berkata jabatan itu sendiri kerap melakukan operasi dari semasa ke semasa dan berjaya mengesan sikap degil pemandu lori berkenaan.
“Walaupun banyak kali dikenakan saman, namun ada di kalangan pengguna jalan raya termasuk pemandu lori bauksit dikesan berterusan melakukan kesalahan yang sama termasuk membawa muatan (dalam keadaan) bahaya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan operasi di Jalan Pintasan-Pelabuhan berhampiran Sungai Karang, lokasi kemalangan maut yang mengorbankan seorang guru Sekolah Kebangsaan Balok, Nohalili Ahmad Zabidi, 40, petang Isnin lepas.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta Perodua Myvi yang dinaikinya terkena tayar daripada bahagian tengah sebuah lori membawa muatan bauksit yang tercabut.
Beliau berkata, jalan berkenaan sememangnya telah dikenal pasti sebagai laluan ‘panas’ kepada pelbagai jenis kenderaan melakukan kesalahan jalan raya terutama dalam kalangan pemandu lori yang mengangkut bauksit.
Secara purata, katanya JPJ mengeluarkan sebanyak 30 kompaun dan saman setiap hari di laluan itu terhadap pelbagai jenis kenderaan.
Beliau berkata sejak 16 Dis hingga 21 Dis lepas, JPJ Pahang telah mengeluarkan 179 saman kepada lori sahaja dengan 77 kes daripadanya melibatkan kesalahan membawa muatan secara bahaya membabitkan kompaun berjumlah lebih RM23,000.
Sehubungan itu, JPJ Pahang katanya akan terus meningkatkan penguatkuasaan dan operasi untuk mengesan pemandu yang ingkar mematuhi peraturan jalan raya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]MGwaSK8fxEw[/wpdevart_youtube]

