ALOR GAJAH – Semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan agensi berkaitan di negeri ini diarah memantau ketat paras air di kawasan masing-masing dan mengambil langkah bersiap sedia terutama di pusat pemindahan bagi menghadapi banjir.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata pemantauan dan langkah itu perlu dilaksanakan kerana kerajaan negeri tidak mahu pihak bertanggungjawab alpa dalam menghadapi situasi banjir di negeri ini.
“Saya telah arahkan supaya Penolong Pegawai Daerah ambil peranan memantau semua pusat banjir di negeri ini, setiap pusat banjir penghulu atau JKKK akan ditugaskan 24 jam setiap hari bagi membantu mangsa.
“Ini kerana mangsa tertekan dari segi fizikal dan mental, jadi saya minta pegawai kerajaan akan bersama mereka melihat semua aspek yang kekurangan atau boleh berikan suntikan motivasi kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan di sini hari ini.
Setakat 3 petang tadi, 599 mangsa daripada 130 keluarga ditempatkan di enam pusat pemindahan banjir di sekitar daerah ini.
Dalam pada itu Idris menyeru semua mangsa yang terlibat agar mendengar arahan dari pihak berkuasa secara terperinci dan tidak mengambil tindakan sendiri untuk pulang ke kawasan masing-masing.
Beliau berkata ia sebagai tindakan mencegah kemungkinan risiko kehilangan nyawa, kecederaan anggota dan kehilangan harta benda.
“Saya juga meminta Jabatan Parit dan Saliran dan Jabatan Meteorologi untuk berikan maklumat semasa kepada kami berkaitan cuaca dan juga keadaan sistem perparitan di negeri ini yang boleh berlaku risiko banjir.
“Mana-mana orang awam juga boleh memaklumkan kepada pusat pengurusan bencana negeri jika terdapat mana-mana parit yang tidak diselenggara,” katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]3qWjh-yU5Yo[/wpdevart_youtube]

