Axiata Digital Innovation Fund (ADIF), dana modal teroka korporat perkhidmatan terbesar di Malaysia, akan melabur sebanyak RM12.5 juta dalam enam syarikat teknologi milik Malaysia.
Ketua Pegawai Korporat Kumpulan Axiata Group Bhd, Mohamad Idham Nawawi, berkata pelaburan itu akan dapat membantu mengembangkan perniagaan dan produk mereka untuk menjadi peneraju serantau dalam pasaran perkhidmatan digital.
“Kami berada di kedudukan terbaik untuk membantu syarikat-syarikat ini berkembang lebih pantas dan lebih besar dengan menyediakan bukan hanya pembiayaan, tetapi juga kepakaran industri dan akses pasaran kepada 260 juta pelanggan Axiata di seluruh Asia,†katanya pada taklimat media, 9 Disember 2015.
Daripada 160 syarikat yang disaring, ADIF memilih Maideasy, Tripfez, Easyparcel, Easyuni, SPOT News dan Supahands untuk menerima dana itu, katanya.
ADIF, yang dilancarkan pada November 2014, adalah kerjasama antara Axiata dan Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP), bagi menyokong objektif kerajaan untuk meningkatkan keupayaan syarikat teknologi tempatan.
Dana itu yang diuruskan oleh Intres Capital Partners Sdn Bhd, anak syarikat MAVCAP, mempunyai komitmen RM100 juta.
Setakat ini, ia memiliki RM70 juta dan masih sedang mencari pelabur berpotensi untuk melabur bagi baki selebihnya.
Sementara itu, Kamarul Nizam Kassim, rakan kongsi dalam Intres Capital Partner berkata, dana itu juga akan memantau prestasi syarikat bagi tempoh 12-18 bulan.
Beliau berkata, pusingan pertama pelaburan ini bukan yang terakhir. -MYNEWSHUB.CC
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=TMg8T62DA-A]


