SEKALI imbas, ramai yang pasti sangka wanita ini seorang pelakon atau mungkin pekerja pusat kecantikan. Namun siapa sangka sebenarnya beliau seorang pembantu penyelidikan psikologi klinikal dan juga pelajar ijazah sarjana dalam bidang yang sama!
Ashton Clarke,22, membuktikan bahawa rupa bukanlah bayangan sebenar personaliti seseorang.
Bersandarkan penampilan yang ‘va va voom’ dengan kulit gangsa hasil semburan fake tan,rambut panjang mengurai berwarna blonde dan mekap tebal lengkap berbulu mata palsu, Ashton tidak kelihatan seperti seseorang yang ‘cerdik’.
Bagaimanapun menurut Ashton, kecenderungan beliau untuk mempunyai penampilan yang tampak terlajak vogue itu membuatkan dirinya sentiasa dipandang rendah oleh teman sebayanya.
Walaupun begitu, kejayaan Ashton dalam bidang akademik tidak boleh dinafikan.
Selain daripada menjalani pengajian ijazah sarjana dalam bidang psikologi klinikal di Universiti Tennessee,USA, beliau juga berbakat dalam lukisan. Malah, karya-karya Ashton pernah dipamerkan secara umum di dalam sebuah galeri seni terkemuka.
Tidak cukup dengan itu, Ashton juga memang seorang wanita yang bijak kerana bisa bertutur dalam empat bahasa iaitu bahasa Norway, Spanish, Farsi dan Bahasa Inggeris dengan lancar dan fasih.

Kepintarannya sahaja sudah menjadikan dirinya cukup menarik, jadi mengapa perlu berpenampilan sebegitu?
Jelas Ashton, beliau sebenarnya seorang yang sangat pemalu semasa kecil dan sering dipandang rendah oleh kerana sikap semulajadinya itu.
Namun, segalanya berubah semasa beliau berusia 16 tahun, apabila Ashton memutuskan untuk mula menjadi lebih berkeyakinan diri.
Menjadikan anak patung Barbie sebagai inspirasi, Ashton mula berjinak-jinak untuk bereksperimen dengan mekap tebal, semburan penggelap kulit dan kanta lekap berwarna-warni bagi mengubah penampilannya secara total.
“Walaupun saya tahu penampilan saya kelihatan sangat palsu dan tidak asli, namun ini hanya meningkatkan lagi keyakinan diri saya.
“Saya rasa lebih seperti diri saya yang sebenarnya apabila berpenampilan begini dan itu buatkan saya gembira, walaupun sering dipandang rendah oleh rakan sebaya,” katanya kepada Metro.co.UK, semalam.
Ashton, yang terpilih untuk menyertai sekelompok kecil pelajar menjadi pembantu penyelidikan di universitinya, sedang menunggu keputusan untuk menyambung pengajiannya dalam ijazah doktor falsafah dan bercadang untuk menjadi seorang ahli akademik suatu hari nanti.
“Dengan bibir yang mungil hasil suntikan kolagen dan solekan tebal ini, ramai yang mempertikaikan intelek saya.
“Namun pada saya, saya menganggap penampilan ‘palsu’ saya ini sebagai perkara paling menggembirakan hati saya buat masa ini, atau mungkin selamanya,” terang Ashton lagi.-MYNEWSHUB.CC/Teks: Sara Khalid
[youtube https://www.youtube.com/watch?v=-DWRGTtFGxM&w=560&h=315]