KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mula menggerakkan anggota dan asetnya untuk membantu mangsa banjir, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini telah menggerakkan pasukan formasi 8 Briged Infantri di Kelantan dan Terengganu serta 2 Briged Infantri di Perak bagi membantu mangsa banjir.
“Angkatan Tentera Malaysia juga turut menggerakkan 1 Divisyen di Sarawak membantu mangsa banjir di negeri itu, sementara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah siap sedia untuk mengerakkan asetnya pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jiwa Murni (PJM) kerjasama kementerian itu dan Media Prima Berhad di di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata aset-aset TUDM akan melibatkan sebuah helikopter Nuri di Pangkalan Udara Butterworth bagi sektor utara dan tengah Semenanjung, dua pesawat EC725 di Pangkalan Udara Kuantan bagi sektor timur dan selatan Semenanjung.
Sementara sebuah pesawat CN235 dan sebuah pesawat C130 di Pangkalan Udara Subang bagi seluruh Semenanjung, katanya.
Hishammuddin berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula telah bersiap-sedia mengatur gerak 19 bot dan dua helikopter iaitu Super Lynx dan Fennec, yang kini ditempatkan di Pangkalan TLDM di Lumut, Perak.
Sementara itu program Jiwa Murni bagi Persediaan Banjir itu melibatkan penyediaan sebanyak 2,000 beg kit kelangsungan hidup yang mengandungi barangan kebersihan diri dan ubat-ubatan untuk diagihkan kepada mangsa banjir. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]TcJyJe5-4DA[/wpdevart_youtube]

