KUALA NERUS – Tukang urut, tukang masak, pelayan kedai makan dan buruh binaan antara 26 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang diberkas dalam Ops Ikrar yang dilaksanakan di sekitar dua daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, awal pagi Isnin.
Ketua Penguatkuasa Imigresen Negeri, Ahmad Salihin Salleh berkata dalam serbuan yang bermula pukul 8 malam dan berakhir tujuh jam kemudiannya itu menyasarkan kedai makan, rumah kongsi dan sebuah pusat refleksologi dan pusat penjagaan kesihatan.
Katanya dalam operasi yang disertai 18 pegawai dan anggota Imigresen Terengganu itu, pihaknya mengesan warganegara Thailand, Indonesia, Bangladesh dan Myanmar turut diberkas kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Sepanjang operasi itu, kita telah memeriksa 45 warga asing dan daripada itu, seramai 26 PATI terdiri daripada 17 lelaki dan sembilan wanita dalam pelbagai sektor yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat permit dan pas kerja serta menetap lebih masa.
“Daripada jumlah itu, seramai 15 orang disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, enam orang dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Peraturan Imigresen 39(b) kerana melanggar syarat permit dan pas kerja,” katanya kepada Bernama di sini Isnin.
Manakala lima lagi terdiri daripada empat warganegara Indonesia dan seorang rakyat Myanmar ditahan mengikut seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa di negara ini.
Menurut Ahmad Salihin, pihaknya juga turut mengeluarkan dua Borang 29 (Saman Saksi) kepada dua warga tempatan supaya hadir ke bahagian penguatkuasa bagi membantu siasatan.
Katanya kesemua mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 48 tahun, telah dibawa ke Depoh Tahanan Sementara Imigresen di Ajil untuk tindakan lanjut.
Justeru, beliau meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen jika terdapat kehadiran warga asing di kawasan mereka dalam usaha mengekang kemasukan warga asing di negara ini. – BERNAMA

