PUTRAJAYA – Tidak ada rakyat Malaysia yang dilaporkan menjadi mangsa dalam siri serangan di ibu kota Perancis, Paris, kata Kementerian Luar.
“Kerajaan Malaysia mengecam keras siri serangan di Paris pada lewat 13 November 2015 yang meragut lebih 100 nyawa orang yang tidak bersalah.
“Setakat ini tidak ada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa,” kata Wisma Putra menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan di sini pada Sabtu.
Ia berkata serangan kejam tersebut mengesahkan perlunya setiap orang menyokong usaha ‘perang’ terhadap aktiviti keganasan.
Baca: Perancis Isytihar Darurat, Ratusan Maut Serangan Di Paris
Juga: Tragedi Berdarah Paris Babit 8 Penyerang 6 Lokasi
“Pada saat sedih ini Malaysia turut sama dengan keluarga mangsa, kerajaan Perancis dan rakyatnya,” kata kementerian berkenaan.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Twitternya mengecam serangan di Paris, ibu negara Perancis, yang disifatkan sebagai perbuatan kejam terhadap orang awam yang tidak bersalah.
Laporan dari Paris menyatakan lebih 100 orang terbunuh dalam serangan bom dan senjata api di dewan konsert Bataclan, restoran-restoran di pusat bandar dan berhampiran Stade de France. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]1Wik7n8SWV8[/wpdevart_youtube]

