IPOH – Jumlah mangsa banjir di Perak terus meningkat kepada 404 orang daripada 109 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 401 orang semalam, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Yahya Madif.
Beliau berkata mangsa terbaru membabitkan kawasan Bagan Serai di Kampung Ali Kalang dengan 15 orang daripada empat keluarga dan mereka dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.
Di Bagan Serai, mangsa banjir meningkat kepada 133 orang daripada 31 keluarga membabitkan Kampung Changkat Lobak, Kampung Permatang Tengah dan Parit Air Hitam.
Kesemua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak manakala di Batu 38 dan 40, Kampung Beriah dan Parit Abu Hassan di Bagan Serai, seramai 117 orang membabitkan 36 keluarga masih berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.
“Mangsa di Pantai Remis membabitkan Kampung Padang Serai, Pengkalan Bharu kekal 83 orang daripada 22 keluarga yang masih berada di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Yahya berkata mangsa banjir di daerah Hilir Perak pula menurun kepada 56 orang daripada 16 keluarga berbanding 73 orang semalam yang membabitkan Kampung Mesra Batu 7, Changkat Jong, Teluk Intan, Kampung Lorong Mesra, Batu 9 dan Kampung Lorong.
Kesemua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan.
Kawasan itu masih dinaiki air setinggi 3.05 meter akibat hujan lebat, katanya. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]Tx9kANu_xfM[/wpdevart_youtube]

