KUCHING – Kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkan Empangan Tenaga Hidro Baram di Baram, Miri yang kontroversi untuk masa kini.
“Setakat ini tidak ada pembangunan untuk empangan ini,” kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.
Beliau berkata tindakan itu berikutan penduduk Baram tidak menerima pembinaan empangan yang mampu menghasilkan 1,200 mega watt tenaga elektrik itu.
“Kita akan meneruskan pembinaan Empangan Baleh di Kapit memandangkan penduduknya memberi sokongan kepada projek,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Perkhidmatan Awam peringkat negeri yang dihadiri kira-kira 7,000 kakitangan awam dari jabatan dan agensi persekutuan dan negeri.
Adenan berkata penduduk Baram hanya boleh menyalahkan diri sendiri jika mereka mengadu kurangnya pembangunan yang projek mega seperti Empangan Baram boleh bawa ke kawasan tersebut.
Pada masa sama beliau berkata kerajaan negeri akan membenarkan urusan surat-menyurat rasmi dilakukan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.
“Pendirian tegas saya terhadap bahasa Inggeris menyebabkan ada pihak yang jengkel dan menuduh saya tidak nasionalis dan tidak patriotik.
“Membela bahasa Inggeris tidak ada kaitan dengan patriotisme dan nasionalisme. Ia adalah menjadi realistik,” katanya.
Adenan berkata kegagalan untuk fasih dalam pertuturan dan penulisan bahasa Inggeris menyebabkan ramai graduan menghadapi kekangan besar.
“Saya ada baca di akhbar lebih 1,000 doktor di Malaysia yang menamatkan pengajian tidak mahu bekerja sebagai doktor kerana lemah penguasaan bahasa Inggeris. Ini sangat menyedihkan,” ujarnya.
Sementara itu berhubung dengan sambutan hari perkhidmatan awam beliau menggesa kakitangan kerajaan pantas dan cekap dalam membuat keputusan.
“Isu ini berkaitan dengan kebajikan dan keselesaan rakyat terutamanya pada masa darurat dan kecemasan,” katya Adenan. – BERNAMA
