KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Klang merampas kira-kira 32,000 kotak rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM364,900 dalam satu operasi malam semalam.
Laksamana Pertama Daerah Maritim Klang, Mohd Aliyas Hamdan berkata dalam operasi pukul 9.30 malam itu, pihaknya mengesan sebuah bot pancung dinaiki dua lelaki warga asing dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan dua batu nautika atau 3.7 kilometer dari pantai Tanjung Sepat, Kuala Langat, dekat sini.
Beliau berkata akibat panik melihat kehadiran anggota APMM menuju ke arah bot mereka, kedua-dua lelaki dipercayai warga Indonesia itu terjun ke laut dan menghilangkan diri.
“Kedua-dua lelaki itu terjun ketika unit peronda masih dalam perjalanan kira-kira 0.1 nautika dari pesisiran pantai Tanjung Tumbuk menuju ke kedudukan bot pancung berkenaan.
“Pemeriksaan terhadap bot yang ditinggalkan itu menjumpai 3,210 karton rokok pelbagai jenama dipercayai cuba diseludup masuk untuk pasaran negara ini,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot pancung berkenaan menggunakan lima enjin, masing-masing berkapasiti 200 kuasa kuda.
Katanya kes itu merupakan kes penyeludupan rokok pertama menggunakan bot pancung dengan kekuatan enjin sedemikian dan dipercayai bagi memudahkan penyeludup untuk melarikan diri.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barang tanpa kelulusan kastam.
Mohd Aliyas berkata jumlah rampasan itu adalah yang terbesar tahun ini iaitu hampir RM620,000 melibatkan nilai rokok termasuk cukai bersama bot dan enjin.
Sehubungan itu, APMM Daerah Klang akan mempertingkatkan operasi di perairan Selangor dan laluan tertentu yang dikesan kerap digunakan penyeludup rokok bagi membanteras kegiatan haram berkenaan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]P5-sLOxp0Qc[/wpdevart_youtube]

