LUMUT – Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar semalam melancarkan Buku Memoir Panglima Tentera Laut ke-15, yang merekod sejarah perkhidmatan beliau bersama TLDM.
Pelancaran berlangsung di Auditorium M.Sidek Shahbudin KD Pelandok, Pangkalan TLDM di sini.
Abdul Aziz, yang memegang jawatan Panglima TLDM sejak tujuh tahun lepas, bakal bersara pada 7 Mei 2016 dan diganti oleh Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Majlis Serah Tugas akan berlangsung pada 18 Nov ini.
Beliau berkata buku itu merupakan hasil karangan dan suntingannya, dengan kerjasama Kumpulan Penulisan Memoir Panglima Tentera Laut ke-15 di bawah naungan Ahmad Kamarulzaman.
Kumpulan itu diketuai Laksamana Pertama Ganesh Navaratnam.
Abdul Aziz mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang selama 41 tahun bersama pasukan TLDM.
Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan penting di laut dan darat malah berkesempatan berkhidmat di atas sembilan kapal TLDM.
Abdul Aziz pernah memimpin tiga kapal iaitu KD Baung, KD Musytari dan KD Laksamana Muhammad Amin. – BERNAMA

