IPOH – Sebanyak 628 produk makanan dan minuman bernilai RM3,445 dirampas dalam operasi ‘Ops Cahaya’ yang diadakan di seluruh Perak sejak 19 Okt lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon.
Beliau berkata antara kesalahan menyebabkan produk dirampas ialah tidak mempunyai label, makanan dalam tin berkarat dan kemek, makanan melepasi tarikh luput serta buah-buahan dan sayur-sayuran telah layu dan rosak.
Katanya operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri, pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Operasi yang dijalankan bersempena sambutan Deepavali bertujuan menjaga kesihatan dan keselamatan pengguna, yang merupakan keutamaan.
“Ini kerana ketika musim perayaan, isu kesihatan dan keselamatan terutamanya produk makanan sering menjadi masalah utama,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di Medan Selera Stadium Perak hari ini.
Dr. Mah berharap pengguna lebih peka dan berhati-hati ketika memilih produk makanan serta memerhatikan label pengeluar serta keadaan pembungkusan sebelum melakukan pembelian.
Beliau berkata peniaga dan pengeluar yang melakukan kesalahan akan didakwa mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Katanya jika peniaga dan pengeluar tidak mematuhi akta dan peraturan tersebut, mereka berdepan kompaun maksimum RM10,000 atau hukuman penjara maksimum dua tahun.
Dalam perkembangan lain, Dr. Mah berkata bagi Januari hingga September ini, sebanyak 7,872 premis diperiksa dan 79 premis makanan diarah tutup kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang memuaskan manakala sejumlah 150 notis kompaun bernilai RM42,500 dikeluarkan.
“Semua premis yang diperiksa dan didapati tidak mematuhi peraturan akan dikeluarkan arahan kerja dan pemeriksaan semula akan dilakukan sekali lagi.
“Pemantauan membabitkan pemeriksaan suhu dalam peti sejuk, tempat penyimpanan makanan hendaklah teratur dan tidak berselerak serta permukaan lantai juga perlu bersih,” katanya. – BERNAMA