KUANTAN – Polis menahan lima lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri kereta jenis Proton Saga di sekitar Kuantan.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata semua suspek berusia antara 21 hingga 33 tahun itu ditahan pada serbuan di sebuah rumah di Kampung Pandan di sini, jam 4 petang semalam.
Tambahnya semua suspek cuba untuk meloloskan diri semasa sebuan oleh pasukan anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Gading yang diketuai Inspektor Gray Samuil.
“Polis terpaksa memecahkan pintu hadapan rumah ​dan mendapati lima suspek lelaki ​tersebut ​cuba melarikan diri ​menggunakan pintu belakang,” katanya di sini, hari ini​.
Abdul Aziz menambah polis juga menjumpai dua kereta Proton Saga yang disembunyikan di belakang rumah yang dilaporkan hilang di Beserah dan Kuantan.
Suspek wanita pula didapati dikehendaki Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi membantu siasatan satu kes dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Abdul Aziz berkata semua suspek juga didapati positif dadah jenis Amphethamine dan ditahan di lokap Balai Polis Kuantan untuk siasatan mengikut Seksyen Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – BERNAMA
[wpdevart_youtube]JXnxjOr-4Sg[/wpdevart_youtube]

