Georgetown – Dua lelaki warga tempatan berusia 58 dan 31 tahun ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di 4.0 batu nautika dari Tanjung Piandang, kerana menangkap ikan secara haram, petang semalam.
Dalam pemeriksaan pada 1 tengah hari itu, mereka ditahan kerana memukat ikan di kawasan yang tidak dibenarkan dan hampir 100 kilogram (kg) ikan ditangkap mereka juga dirampas.
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah 2, Laksamana Pertama Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, dalam pemeriksaan itu dua bot jenis menggunakan pukat Kenka (B) sedang memukat ikan di situ.
Katanya, ketika didekati bot peronda APMM , sebuah bot kecil sempat melarikan diri namun pihaknya berjaya menahan sebuah lagi bot besar di situ kerana pukat mereka tersangkut.
“Dua lelaki ditahan di bot berkenaan kerana melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen perikanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya.
Kamaruszaman berkata, bot yang berpangkalan di jeti Tanjung Piandang, Perak itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 iaitu memukat di bawah 5 batu nautika dari pantai. – myMetro Online