KUALA LUMPUR – Tujuh jalan utama di sekitar ibu kota akan ditutup kepada semua kenderaan bagi memberi laluan kepada perarakan sempena sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan di Masjid Negara, Rabu ini.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S. Markandan berkata semua jalan itu akan ditutup mulai 6.30 pagi sehingga 9 pagi, dan akan dibuka semula setelah semua peserta selamat sampai ke Masjid Negara.
“Jalan-jalan yang terlibat dalam acara itu ialah Jalan Parlimen, Jalan Tun Perak, Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Hishamuddin, Bulatan Hishamuddin, Jalan Bangsar dan Jalan Perdana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya peserta perarakan akan berkumpul di lima lokasi iaitu di Masjid Jamek Jalan Tun Perak, Padang Merbok, Dataran Merdeka, Muzium Kesenian Islam Jalan Perdana dan Muzium Negara, sebelum berarak ke Masjid Negara.
Program anjuran Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) itu dijangka disertai 50,000 peserta.
Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut dijadual menyertai sambutan berkenaan. – BERNAMA

