KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) yang dinaungi bekas-bekas pemimpin PAS mendakwa nombor telefon beberapa pimpinan kanan parti itu digodam pihak tertentu.
Setiausahanya, Mohd. Anuar Tahir berkata, beberapa setiausaha PAN di peringkat negeri menjadi mangsa itu apabila nombor mereka digodam untuk menghantar mesej palsu berkait keahlian dan penghinaan ke atas pihak tertentu.
“Setakat ini, ia melibatkan nombor telefon Setiausaha PAN Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Perlis, Pahang dan Kelantan. Kesemua mereka hanya mengetahui hal ini selepas mendapat mesej balas daripada penerima yang menghubungi mereka.
“PAN kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini yang telah menggunakan taktik politik kotor,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Anuar berkata, PAN tidak menolak kemungkinan tindakan itu sebagai cubaan mengganggu dan menyekat penyertaan orang ramai ke dalam parti itu yang semakin pesat di terima masyarakat.
“Walau apa cara sekalipun digunakan untuk menyekat usaha kami, ia sama sekali tidak akan mematahkan semangat para petugas parti PAN,” katanya.
Katanya, pasukan teknikal PAN sedang menyiasat perkara itu dan Setiausaha PAN terlibat dinasihatkan supaya membuat laporan polis.
Penubuhan PAN oleh bekas-bekas pemimpin PAS yang disingkirkan dalam pemilihan parti itu pada Jun lalu dikecam pimpinan PAS sedia ada kerana membawa keluar ramai ahli parti itu daripada PAS bagi menyertai PAN. – mynewshub.cc

