SANDAKAN – Penggunaan bahasa kebangsaan di Sabah dalam kalangan penjawat awam mencapai 95.7 peratus, hasil kajian menerusi Program Audit Bahasa, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
Katanya ini menunjukkan tahap membanggakan menerusi program yang dilaksanakan membabitkan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dengan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sehubungan itu, beliau mahu program itu diperluaskan ke sektor swasta seperti kewangan, perbankan, undang-undang, perniagaan dan kesihatan.
“Mudah-mudahan dengan usaha seperti ini, kita akan lebih menghargai keindahan dan ketinggian nilai bahasa kita, selain mampu menguasai bahasa ilmu,” katanya ketika merasmikan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.
Musa juga mahu syarikat berkaitan kerajaan dan swasta di negeri ini bersama-sama menyumbang ke arah pemartabatan bahasa kebangsaan.
Katanya mereka boleh memainkan peranan dalam mengantarabangsakan bahasa kebangsaan melalui jenama ataupun label produk agar masyarakat antarabangsa mengenali bahasa kebangsaan.
Beliau berkata usaha pemartabatan bahasa kebangsaan memerlukan penggemblengan tenaga pelbagai pihak agar bahasa kebangsaan yang sudah pun merentasi pelbagai bidang ilmu dapat dilestarikan keupayaannya sebagai bahasa ilmu, sains dan teknologi.
Musa berkata sungguhpun pelbagai istilah telah digubal, namun keupayaan istilah berkaitan hanya dibuktikan melalui kesedaran masyarakat dan mempopularkan penggunaannya. – BERNAMA