34 TAHUN bukan satu tempoh singkat untuk sebuah kumpulan muzik mampu bertahan dan ia adalah cerminan mengapa SEARCH adalah legenda tanah air.
Satu yang harus dipuji, Search juga masih bertahan dengan line-up asalnya iaitu Amy (vokalis), Kid (gitar utama), Din (gitar kedua), Nasir (gitar bass) dan Yazit (dram) manakala lagu-lagu mereka yang sudah berpuluh tahun sejak kali pertama berkumandang, kekal malar segar sampai ke hari ini.
Kini khas buat peminat setia mereka di Selatan, Search yang juga terdiri daripada anak jati Johor bakal mempersembahkan konsert istimewa yang digelar Panggung Khayalan.
Konsert ini boleh dikatakan ibarat ‘sirih pulang ke ganggang’ kerana Johor merupakan titik permulaan sebelum Search meneruskan siri jelajah mereka ke lokasi lain di tanah air.
Peminat fanatik Search pastinya sedia maklum, Panggung Khayalan merupakan salah satu lagu Search yang pernah dimuatkan dalam album Rock n’ Roll Pie dan ianya seolah-olah memberitahu apa yang bakal dihidangkan kepada penonton kelak.
Konsert anjuran Universal Music dengan kerjasama EduCity Iskandar Malaysia Sdn. Bhd. ini, dirancang berlangsung jam 8 malam di Kompleks Sukan EduCity, Nusajaya, Johor pada Sabtu ini.
Berlangsung selama 2 jam, para peminat dijanjikan persembahan penuh bertenaga daripada barisan rockers otai dalam Search. Lebih istimewa, peminat dari Singapura dan Indonesia turut diundang menghadiri konsert ini dan kehadiran penonton dijangkakan melebihi 10,000 orang.
Tiket konsert boleh didapati di secara online di tickethotline.com.my atau dibeli di kaunter tertentu pada harga serendah RM66 untuk tiket biasa sampailah RM756 (termasuk GST) untuk tiket VIP Premium di mana pemegang tiket ini turut berpeluang hadir ke majlis post party selepas konsert dan beramah mesra bersama semua ahli Search.
ALBUM EDISI ISTIMEWA
Dalam pada itu sempena konsert Panggung Khayalan, satu album kompilasi edisi istimewa Search telah dipasarkan di iTunes sejak 25 September 2015 sebelum menjengah pasaran dalam bentuk fizikal 15 Oktober lalu.
Menggabungkan 30 lagu terbaik yang pernah dimuatkan dalam album-album terdahulu Search, ianya pasti membawa pendengar mengimbau memori silam terutama tatkala berkumandangnya lagu seperti Isabella, Kejora, Seroja, Fantasia Bulan Madu, Rozana, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Gadisku, Fenomena dan Meniti Titian Usang.
Difahamkan, Universal Music turut bercadang untuk mengeluarkan edisi terhad album ini dalam bentuk piring hitam.
Turut dipasarkan semula, dua album kaset Search iaitu ‘Berpaling’ dan ‘Di Pintu Sepi’ yang kini dalam bentuk cakera padat.
Diharapkan penganjuran konsert Panggung Khayalan dan merilis semula album Search bukan sahaja membawa peminat muzik rock mengembalikan kenangan silam tetapi juga menghangatkan semula scene rock di Malaysia! – MYNEWSHUB.CC