KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuduh Ketua Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) punca kepada masalah sedang dihadapi pelajar di Institut Profesional Baitulmal (IPB).
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa, kakitangan IPB telah mengadu kepada PKR bahawa Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP itu yang mengarahkan pelajar IPB menetap di sebuah pangsapuri di Kajang, Selangor yang belum memiliki sijil layak menduduki (CF).
“Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP mengarahkan sekitar 500 pelajar ditempatkan di Pangsapuri Seri Warisan, Jalan Desa Utama 9/5, Seksyen 9, Kampung Datuk Abu Bakar Baginda walaupun ditentang oleh Ketua Pegawai Eksekutif IPB kerana belum mendapat CF dan belum siap sepenuhnya.
“Surat Majlis Perbandaran Sepang pada 7 September 2015 mengesahkan bahawa CF masih belum dikeluarkan bagi premis tersebut. Setiap unit menempatkan antara 12 hingga 16 pelajar walaupun hanya sesuai menempatkan lapan hingga 10 pelajar kerana unit di tingkat empat dan lima belum ada kipas dan lampu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, kata Rafizi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom perlu bertanggungjawab di atas perkara itu dan menyelesaikan kemelut pentadbiran di IPB kerana ia melibatkan pengurusan wang zakat.
Akhbar berpengaruh, Utusan Malaysia pada 17 Oktober lalu mendedahkan isu membabitkan pelajar IPB semakin meruncing apabila dua laporan polis dibuat hari ini berhubung kemelut yang meÂÂlanda institusi berkenaan.
Pelajar terbabit mempersoalkan tindakan pihak pengurusan ‘memperjudikan’ keselamatan hampir 500 pelajar dengan menempatkan mereka di bangunan yang tidak diperakui selamat. – mynewshub.cc